Wednesday, December 29, 2010
Wednesday, December 22, 2010
Bertawassul Dengan Nabi SAW Semasa Hayatnya Dan Selepas Kewafatannya
Utusan Malaysia, 21 December 2010
Sesudah kita menghuraikan tentang bolehnya bertawassul dengan Nabi SAW sebelum hayat Baginda SAW, mari pula kita melihat hukum tawassul semasa hayatnya dan selepas wafat Baginda SAW. Untuk itu marilah kita merujuk kepada beberapa dalil utama yang berkaitan.
“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan bertawajjuh kepadaMu dengan (hak) NabiMu; Muhammad SAW; Nabi pembawa rahmat, wahai Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanmu, agar engkau tunaikan hajatku ini. Ya Allah! Syafa’atkanlah dia untukku dan syafa’atkanlah aku padanya.”
Telah berkata al Hakim: Hadith ini adalah sohih sanadnya dan tidak dikeluarkan oleh al Bukhari dan Muslim (Al Mustadrak, Jld 1, H: 519). Telah berkata al Zahabi tentang hadith ini: Ia adalah sohih. Telah berkata al Tirmizi di dalam bab-bab Berdoa di bahagian akhir kitab Sunannya: Ini ialah hadith hasan sohih gharib, kami tidak mengetahuinya melainkan dari wajah ini dari hadith Abu Ja’far, dan dia bukan al Khatmi.
Aku berkata: Yang benarnya, Abu Ja’far ialah al Khatmi al Madani sebagaimana yang didatangkan dengan jelas di dalam riwayat-riwayat al Tabrani, al Hakim dan al Baihaqi. Al Tabrani menambah di dalam al Mu’jam al Soghir bahawa namanya ialah ‘Umair ibn Yazid dan dia adalah seorang yang thiqah (dipercayai).
Telah berkata al ‘Allamah al Muhaddith Abdullah ibn Siddiq al Ghumari di dalam risalahnya Ittihaf al Azkiya’: Tidak diterima akal, para hafiz bersatu di dalam mentashihkan hadith yang ada di dalamnya sanadnya yang majhul, terutamanya al Zahabi, al Munziri dan al Hakim.
Doa tawassul ini bukan sahaja dikhususkan semasa hayat Baginda SAW. Bahkan, sebahagian sahabat telah menggunakan ucapan tawassul ini selepas kewafatan Baginda SAW. Al Tabrani telah meriwayatkan hadith ini, dan menyebut pada awal kisah, iaitu:
Monday, November 15, 2010
Sunday, October 10, 2010
Sunday, September 5, 2010
Mawlid Akbar......
Friday, September 3, 2010
Amalan Sunnah Di Hari Raya 'Aid al Fitri
Menjelang Aidil Fitri umat Islam bagaikan bayi yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan fitrah dan bersih dari segala dosa. Aidil Fitri juga adalah hari merayakan kebesaran Tuhan dan hari mentauhidkan keesaanNya. Maka di mana-mana kita melihat, rata-rata umat Islam menyambut dan merayakan Aidil Fitri dengan gema alunan takbir membesarkan Allah dan tahlil mentauhidkanNya. Kebesaran Allah dapat dilihat melalui rahmat dan maghfirahNya pada bulan Ramadhan dan anugerah Lailatul Qadar yang cukup istimewa dan sebagainya.
Ketika memasuki Hari Raya Aidil Fitri, kita hendaklah melakukan dan meninggalkan beberapa perkara yang telah diterangkan oleh Baginda Rasulullah SAW seperti:
1. Diharamkan berpuasa pada Hari Raya Aidil Fitri dan Aidul Adha, seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW, “Sesungguhnya dilarang berpuasa di dua Hari Raya, iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha”. Diriwayatkan oleh al Bukhari dan al Muslim.
2. Membersihkan diri dan mandi sebelum pergi ke masjid. Sa’id bin Jubair RA berkata, “Sunnah-sunnah Aid itu ada tiga perkara, berjalan kaki ketika menuju ke masjid, mandi sebelum solat dan makan setelah waktu subuh”. Imam al Nawawi mengatakan, “Seluruh ulama’ bersepakat sunnahnya mandi sebelum solat Aid.
3. Hendaknya makan beberapa biji kurma yang dianjurkan berjumlah ganjil atau makanan yang lain sebelum pergi ke masjid untuk mendirikan solat Hari Raya Aidil Fitri. Manakala di Hari Raya Aidul Adha disunnahkan untuk tidak makan sebelum pergi ke masjid. Diriwayatkan oleh al Bukhari.
4. Bertakbir pada waktu terbenamnya matahari iaitu masuk waktu solat Maghrib hingga keluarnya imam menuju ke mimbar pada keesokan harinya. Banyak riwayat daripada Nabi Muhammad SAW dan perkataan para sahabat yang memerintahkan untuk menghiasi malam Hari Raya dengan bertakbir kepada Allah. Muhammad bin Syihab al Zuhri berkata, “Kami sentiasa bertakbir sejak melangkahkan kaki menuju ke masjid sehingga keluarnya imam”. Sedangkan pada malam Hari Raya Aidil Fitri merupakan waktu yang paling baik untuk berdoa. Imam Syafie RA pernah mengatakan, “Ada lima malam yang doa seorang hamba itu cepat dikabulkan oleh Allah iaitu malam Hari Raya Aidil Fitri, malam Hari Aidul Adha, malam Jumaat, malam awal Rejab dan malam Nisfu Sya’aban”.
5. Mengucapkan tahniah kepada sesama saudara Muslim dan mereka yang telah melakukan ibadah selama sebulan di bulan Ramadhan. Pengucapan selamat ini telah mula dilakukan di zaman sahabat.
6. Memakai pakaian yang bagus atau baru jika berkemampuan serta memakai minyak wangi sebagai penghormatan pada hari yang mulia ini dan sebagai tanda syukur dengan memperlihatkan nikmat yang telah diberikan oleh Allah.
7. Disunnahkan untuk solat Aidil Fitri secara berjamaah bagi lelaki-lelaki dan wanita-wanita, orang musafir dan anak-anak. Sedangkan bagi wanita yang haid boleh duduk di luar masjid dan tidak mengerjakan solat atau masuk ke dalam masjid.
Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Jahiliyyah dahulu juga mempunyai Hari Raya mereka dengan cara yang tersendiri. Mereka menyambutnya dengan berbagai kemaksiatan iaitu dengan meminum minuman keras, menyembah patung berhala dan sebagainya. Setelah kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, Hari Raya itu diganti dengan Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidul Adha. Rasulullah SAW bersabda, “Dahulu kalian mempunyai dua hari yang kalian melakukannya untuk bersenang-senang dan sungguh Allah telah menggantikan keduanya yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidul Adha”.
Solat Aidil Fitri buat kali pertama disyariatkan pada tahun pertama Hijrah, namun Rasulullah SAW baru dapat melakukannya pada tahun kedua Hijrah. Hukum mendirikan solat Aidil Fitri ini menurut mazhab Syafie dan mazhab Maliki sunnat muakkad yakni sunnah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.
Ibnu Abbas meriwayatkan sebuah hadith yang berbunyi, “Apabila datang Hari Raya Aidil Fitri, para malaikat berbondong-bondong turun ke atas permukaan bumi dan berdiri sebuah tempat sambil berkata yang dapat didengari oleh seluruh makhluk ciptaan Allah kecuali manusia dan jin: “Wahai umat Nabi Muhammad SAW! Keluarlah kalian menuju kepada Tuhan Yang Maha Pemurah dan mengampuni dari segala dosa, apabila mereka bergerak dan berada di tempat solatnya, Allah berfirman kepada para malaikatNya, “Wahai para malaikatKu! Apakah balasan bagi seorang hamba yang telah menyelesaikan pekerjaanNya? Para malaikat menjawab, “Wahai Tuhan dan Pemimpin kami, selayaknya baginya untuk diberikan ganjaran. Allah berfirman, “Saksikanlah oleh kalian! Sesungguhnya Aku member pahala bagi mereka yang berpuasa dan solat. Redha serta ampunanKu untuk mereka, berlalulah, kalian telah Aku ampuni”.
Tuesday, August 24, 2010
Mengenang Ulama' Rabbani
Pendahuluan
Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki adalah salah seorang ulama’ Islam yang terutama desawarsa ini tanpa ragu lagi, ulama’ yang paling dihormati dan dicintai di kota suci Makkah al Mukarramah.
Beliau merupakan keturunan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, penghulu Ahlil Bait, Imam Hadis di zaman kita, pemimpin keempat-empat mazhab, ketua rohani yang paling berkaliber, pendakwah ke jalan Allah, seorang yang tidak goyah dengan pegangannya di dunia ilmiah Islam turath. Menziarahi beliau merupakan suatu kemestian kepada para ulamak yang menziarahi Makkah.
Keluarga
Keturunan Sayyid merupakan keturunan mulia yang bersambung secara langsung dengan Junjungan kita Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri. Beliau merupakan waris keluarga al Maliki al Hasani di Makkah yang masyhur yang merupakan keturunan Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam, melalui cucu Baginda, Imam Hasan bin Ali, Radhiyallahu ‘Anhum.
Keluarga Maliki merupakan salah satu keluarga yang paling dihormati di Makkah dan telah melahirkan alim ulama’ besar di Makkah, yang telah mengajar di Makkah berkurun lama.
Lima orang dari keturunan Sayyid Muhammad, telah menjadi Imam Mazhab Maliki di Haram Makkah. Datuk beliau, Sayyid Abbas al Maliki, merupakan Mufti dan Qadhi Makkah dan khatib di Masjidil Haram. Beliau memegang jawatan ini ketika pemerintahan Uthmaniah serta Hashimiah, dan seterusnya terus memegang jawatan tersebut setelah Kerajaan Saudi diasaskan. Raja Abdul Aziz bin Sa’ud sangat menghormati beliau. Riwayat lanjut beliau boleh dirujuk pada kitab Nur al Nibras fi Asanid al Jadd al Sayyid Abbas oleh cucunya Sayyid Muhammad al Maliki.
Bapa beliau pula, Sayyid Alawi al Maliki merupakan salah seorang ulama’ Makkah terunggul di abad yang lalu. Beliau telah mengajar pelbagai ilmu Islam turath di Masjidil Haram selama hampir 40 tahun. Ratusan murid dari seluruh pelusuk dunia telah mengambil faedah daripada beliau melalui kuliah beliau di Masjidil Haram, dan ramai di kalangan mereka telah memegang jawatan penting agama di negara masing-masing.
Malah, Raja Faisal tidak akan membuat apa-apa keputusan berkaitan Makkah melainkan setelah meminta nasihat daripada Sayyid Alawi. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1971 dan upacara pengebumiannya merupakan yang terbesar di Makkah sejak seratus tahun. Dalam tempoh 3 hari daripada kematian beliau, Stesyen Radio Saudi tempatan hanya menyiarkan bacaan al Quran, sesuatu yang tidak pernah dilakukan melainkan hanya untuk beliau.
Maklumat lanjut tentang Sayyid Alawi boleh dirujuk kepada biografinya berjudul Safahat Musyriqah min Hayat al Imam Sayyid al Syarif Alawi bin Abbas al Maliki oleh anaknya, yang juga merupakan adik kepada Sayyid Muhammad, Sayyid Abbas al Maliki. Sayyid Abbas juga seorang ulama’, tetapi lebih dikenali dengan suara merdunya dan pembaca qasidah yang paling utama di Arab Saudi. Biografi ini mengandungi tulisan berkenaan Sayyid Alawi dari ulama’ dari seluruh dunia Islam.
Keluarga Maliki juga telah melahirkan ramai lagi ulamak lain, tetapi penulis hanya menyebut bapa dan datuk kepada As-Sayyid Muhammad. Untuk maklumat lanjut, rujuk tulisan-tulisan berkaitan sejarah Makkah dan ulamaknya di abad-abad mutakhir.
Kelahiran dan Pendidikan Awal
Sayyid Muhammad al Hasani bin Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz, dilahirkan pada tahun 1946, di kota suci Makkah, dalam keluarga al Maliki al Hasani yang terkenal, keluarga Sayyid yang melahirkan ulamak tradisi. Beliau amat beruntung kerana memiliki bapa seperti Sayyid Alawi, seorang ulama’ paling berilmu di Makkah. Bapa beliau merupakan guru pertama dan utama beliau, mengajar beliau secara peribadi di rumah dan juga di Masjidil Haram, di mana beliau menghafal al Quran sejak kecil. Beliau belajar dengan bapa beliau dan diizinkan untuk mengajar setiap kitab yang diajarkan oleh bapa beliau kepada beliau.
Pendidikan Lanjut
Dengan arahan bapanya, beliau juga turut mempelajari dan mendalami pelbagai ilmu turath Islam: Aqidah, Tafsir, Hadith, Fiqh, Usul, Mustalah, Nahw dan lain-lain, di tangan ulama’-ulama’ besar lain di Makkah serta Madinah. Kesemua mereka telah memberikan ijazah penuh kepada beliau untuk mengajar ilmu-ilmu ini kepada orang lain.
Ketika berumur 15 tahun lagi, Sayyid Muhammad telah mengajar kitab-kitab Hadith dan Fiqh di Masjidil Haram, kepada pelajar-pelajar lain, dengan arahan guru-gurunya. Setelah mempelajari ilmu turath di tanah kelahirannya Makkah, beliau dihantar oleh bapanya untuk menuntut di Universiti al Azhar al Syarif. Beliau menerima ijazah PhD daripada al Azhar ketika berusia 25 tahun, menjadikan beliau warga Arab Saudi yang pertama dan termuda menerima ijazah PhD dari al Azhar. Tesis beliau berkenaan Hadith telah diiktiraf cemerlang dan menerima pujian yang tinggi dari alim ulama’ unggul di al Azhar ketika itu, seperti Imam Abu Zahrah.
Perjalanan Mencari Ilmu
Perjalanan menuntut ilmu merupakan jalan kebanyakan ulama’. Sayyid Muhammad turut tidak ketinggalan. Beliau bermusafir sejak usia muda untuk menuntut ilmu dari mereka yang memiliki ilmu. Beliau telah bermusafir dengan banyak ke Afrika Utara, Mesir, Syria, Turki, dan rantau Indonesia untuk belajar dari alim-ulama’ yang hebat, bertemu para Wali Allah, menziarahi masjid-masjid dan maqam-maqam, serta mengumpul manuskrip-manuskrip dan kitab.
Di setiap tempat ini, beliau menemui para ulama’ dan auliya yang agung, dan mengambil faedah daripada mereka. Mereka juga turut tertarik dengan pelajar muda dari Makkah ini dan memberi perhatian istimewa untuk beliau. Kebanyakan mereka telah pun sangat menghormati bapa beliau yang alim, dan merupakan satu kebanggaan memiliki anak beliau sebagai murid.
Ijazah-ijazah
Sistem pengajian tradisi atau turath berasaskan kepada ijazah atau keizinan untuk menyampaikan ilmu’. Bukan semua orang boleh mengajar. Hanya mereka yang memiliki ijazah yang diktiraf dari alim-ulama’ yang terkenal sahaja yang boleh mengajar. Setiap cabang pengetahuan dan setiap kitab Hadith, Fiqh, Tafsir dan lain-lain, mempunyai sanad-sanad, atau rantaian riwayat yang bersambung sehingga kepada penyusun kitab tersebut sendiri melalui anak-anak muridnya dan seterusnya anak-anak murid mereka. Banyak sanad-sanad yang penting, seperti sanad al Qur’an, Hadith dan Tasawwuf, bersambung sehingga kepada Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam.
Sayyid Muhammad mendapat penghormatan dengan menjadi Shaykh dengan bilangan ijazah terbanyak dalam waktunya. Beliau juga memiliki rantaian sanad terpendek atau terdekat dengan datuknya, Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam.
Di Tanah Arab, tanah kelahirannya, dan dalam permusafiran ilmunya, Sayyid Muhammad mendapat lebih dari 200 ijazah dari alim-ulama’ teragung di zamannya, di setiap cabang ilmu Islam. Ijazah beliau sendiri, yang beliau berikan kepada murid-muridnya adalah antara yang paling berharga dan jarang di dunia, menghubungkan anak-anak muridnya dengan sejumlah besar para ulama’ agung.
Para Masyaikh yang memberikan Sayyid Muhammad ijazah-ijazah mereka merupakan ulama’ besar dari seluruh dunia Islam. Kita menyebutkan sebahagian mereka:
Dari Makkah:
1) Bapa beliau yang alim dan guru beliau yang pertama, Sayyid Alawi bin Abbas al Maliki
2) Shaykh Muhammad Yahya Aman al Makki
3) Shaykh al Sayyid Muhammad al Arabi al Tabbani
4) Shaykh Hasan Sa‘id al- amani
5) Shaykh Hasan bin Muhammad al Mashshat
6) Shaykh Muhammad Nur Sayf
7) Shaykh Muhammad Yasin al Fadani
8) Sayyid Muhammad Amin Kutbi
9) Sayyid Ishaq bin Hashim ‘Azuz
10) Habib Hasan bin Muhammad Fad‘aq
11) Habib Abd al Qadir bin ‘Aydarus al Bar
12) Shaykh Khalil Abd al Qadir Taybah
13) Shaykh Abd Allah al Lahji
Dari Madinah:
1) Shaykh Hasan al Sha‘ir, Shaykh al Qurra of Madinah
2) Shaykh Diya al Din Ahmad al Qadiri
3) Sayyid Ahmad Yasin al Khiyari
4) Shaykh Muhammad al Mustafa al Alawi al Shinqiti
5) Shaykh Ibrahim al Khatani al Bukhari
6) Shaykh Abd al Ghafur al Abbasi al Naqshbandi
Dari Hadramaut dan Yaman:
1) Habib Umar bin Ahmad bin Sumait, Imam Besar Hadramaut
2) Shaykh Sayyid Muhammad Zabarah, Mufti Yaman
3) Shaykh Sayyid Ibrahim bin Aqeel al Ba-Alawi, Mufti Ta‘iz
4) Imam al Sayyid Ali bin Abd al Rahman al Habshi
5) Habib Alawi ibn Abd Allah bin Shihab
6) Sayyid Hasan bin Abd al Bari al Ahdal
7) Shaykh Fadhl bin Muhammad Ba Fadhal
8) Habib Abd Allah bin Alawi al Attas
9) Habib Muhammad bin Salim bin Hafeez
10) Habib Ahmad Mashhur al Haddad
11) Habib Abd al Qadir al Saqqaf
Dari Syria:
1) Shaykh Abu al Yasar ibn Abidin, Mufti Syria
2) Shaykh Sayyid al Sharif Muhammad al Makki al Kattani, Mufti Maliki
3) Shaykh Muhammad As‘ad al Abaji, Mufti Shafi‘i
4) Shaykh Sayyid Muhammad Salih al Farfur
5) Shaykh Hasan Habannakah al Maydani
6) Shaykh Abd al Aziz ‘Uyun al Sud al Himsi
7) Shaykh Muhammad Sa‘id al Idlabi al Rifa‘i
Dari Mesir:
1) Shaykh Sayyid Muhammad al Hafiz al Tijani, Imam Hadith di Mesir
2) Shaykh Hasanain Muhammad Makhluf, Mufti Mesir
3) Shaykh Solih al Ja‘fari, Imam Masjid al Azhar
4) Shaykh Amin Mahmud Khattib al Subki
5) Shaykh Muhammad al Aquri
6) Shaykh Hasan al ‘Adawi
7) Shaykh Sayyid Muhammad Abu al ‘Uyun al Khalwati
8) Shaykh Dr. Abd al Halim Mahmud, Syeihkul Azhar
Dari Afrika Utara (Maghribi, Algeria, Libya dan Tunisia):
1) Shaykh Sayyid al Sharif Abd al Kabir al Saqali al Mahi
2) Shaykh Sayyid Abd Allah bin al Siddiq al Ghumari, Imam Hadith
3) Shaykh Sayyid Abd al Aziz bin al Siddiq al Ghumari
4) Sharif Idris al Sanusi, Raja Libya
5) Shaykh Muhammad al Tahir ibn ‘Ashur, Imam Zaitunah, Tunis
6) Shaykh al Tayyib al Muhaji al Jaza’iri
7) Shaykh al Faruqi al Rahhali al Marrakashi
8) Shaykh Sayyid al Sharif Muhammad al Muntasir al Kattani
Dari Sudan:
1) Shaykh Yusuf Hamad al Nil
2) Shaykh Muddassir Ibrahim
3) Shaykh Ibrahim Abu al Nur
4) Shaykh al Tayyib Abu Qinayah
Dari India:
1) Shaykh Abu al Wafa al Afghani al Hanafi
2) Shaykh Abd al Mu‘id Khan Hyderabadi
3) Al Imam al’Arif Billah Mustafa Rida Khan al Barelawi, Mufti India
4) Mufti Muhammad Shafi’ al Deobandi, Mufti Pakistan
5) Mawlana Muhammad Zakariyya al Kandahlawi, Imam Hadith
6) Mawlana Zafar Ahmad Thanawi
7) Shaykh al Muhaddith Habib al Rahman al ‘Azami
8) Sayyid Abu al Hasan Ali al Nadawi
Senarai ini hanya merupakan ulama’ masyhur yang Syaikh kita telah mendapat ijazah darinya, dan di sana terdapat ramai lagi yang tidak disebutkan. Pada Sayyid Muhammad Alawi, seseorang akan mendapati nilai terbaik dari para Masyaikh ini dalam pelbagai latar belakang dan pengkhususan.
Karier Mengajar
Kalimah karier sebenarnya mungkin tidak sesuai untuk digunakan untuk menggambarkan aktiviti mengajar Sayyid Muhammad, kerana kalimah ini amat hampir kaitannya dengan keuntungan material. Sementara beliau, seperti mana Masyaikh tradisi yang lain, juga seperti keturunannya sebelum beliau, mengajar hanya kerana Allah dan tidak mengharapkan keuntungan material langsung.
Malahan, beliau menempatkan sejumlah besar pelajar di rumahnya sendiri, menyediakan untuk mereka makan minum, penginapan, pakaian, kitab-kitab serta segala keperluan mereka. Sebagai balasan, mereka hanya diminta mengikuti peraturan dan etika penuntut ilmu agama yang suci. Pelajar-pelajar ini biasanya menetap bersama beliau bertahun-tahun lamanya, mempelajari pelbagai cabang ilmu Islam, dan seterusnya kembali ke negeri masing-masing. Ratusan dari para pelajar telah menuntut di kaki beliau dan telah menjadi pelopor pengetahuan Islam dan kerohanian di negara mereka, terutamanya di Indonesia, Malaysia, Mesir, Yaman dan Dubai.
Bagaimanapun apabila pulang dari al Azhar, beliau dilantik sebagai Profesor Pengajian Islam di Universiti Ummul Qura di Makkah, yang mana beliau telah mengajar sejak tahun 1970.
Pada tahun 1971, sebaik bapanya meninggal dunia, para ulama’ Makkah meminta beliau untuk menggantikan tempat bapanya sebagai guru di Masjidil Haram. Beliau menerimanya, lantas menduduki kedudukan yang telah diduduki oleh keluarganya lebih dari seabad. Beliau juga kadang kala mengajar di Masjid Nabi di Madinah. Kuliah pengajian beliau merupakan kuliah yang paling ramai dihadiri di kedua-dua Tanah Haram.
Bagaimanapun pada awal tahun 80-an, beliau telah mengosongkan kedudukan mengajarnya di Universiti Ummul Qura juga kerusi warisannya di Masjidil Haram, memandangkan fatwa dari sebahgian ulama’ fanatik fahaman Wahhabi, yang menganggap kewujudannya sebagai ancaman kepada ideologi dan kekuasaan mereka.
Sejak itu, beliau mengajar kitab-kitab agung Hadith, Fiqh, Tafsir dan Tasawwuf di rumah dan masjidnya di Jalan al Maliki di Daerah Rusayfah, Makkah. Kuliah-kuliah umumnya antara waktu Maghrib dan Isyak dihadiri tidak kurang daripada 500 orang setiap hari. Ramai pelajarnya daripada Universiti menghadiri pengajiannya di waktu malam. Sehingga malam sebelum beliau meninggal dunia, majlisnya dipenuhi penuntut.
Sayyid Muhammad Alawi al Maliki amat dihormati oleh Kerajaan Arab Saudi dan selalu diminta nasihat dari Raja sendiri dalam urusan-urusan yang penting. Beliau juga dilantik sebagai ketua juri dalam Musabaqah Qur’an antarabangsa di Makkah selama tiga tahun berturut-turut.
Tulisan Beliau
Sayyid Muhammad merupakan seorang penulis prolifik dan telah menghasilkan hampir seratus buah kitab. Beliau telah menulis dalam pelbagai topik agama, undang-undang, social serta sejarah, dan kebanyakan bukunya dianggap sebagai rujukan utama dan perintis kepada topik yang dibicarakan dan dicadangkan sebagai buku teks di Institusi-institusi Islam di seluruh dunia.
Kita sebutkan sebahagian hasilnya dalam pelbagai bidang:
Aqidah:
1) Mafahim Yajib an Tusahhah
2) Manhaj al Salaf fi Fahm al Nusus
3) Al Tahzir min al Mujazafah bit Takfir
4) Huwa Allah
5) Qul Hazihi Sabeeli
6) Sharh ‘Aqidat al ‘Awam
Tafsir:
1) Zubdat al Itqan fi ‘Ulum al Qur’an
2) Wa Huwa bi al Ufuq al ‘A’la
3) Al-Qawa‘id al Asasiyyah fi ‘Ulum al Quran
4) Hawl Khasa’is al Quran
Hadith:
1) Al Manhal al Latif fi Usul al Hadith al Sharif
2) Al Qawa‘id al Asasiyyah fi ‘Ilm Mustalah al Hadith
3) Fadl al Muwatta wa Inayat al Ummah al Islamiyyah bihi
4) Anwar al Masalik fi al Muqaranah bayn Riwayat al Muwatta lil Imam Malik
Sirah:
1) Muhammad (Sallallahu Alaihi Wasallam) al Insan al Kamil
2) Tarikh al Hawadith wa al Ahwal al Nabawiyyah
3) ‘Urf al Ta’rif bi al Mawlid al Sharif
4) Al Anwar al Bahiyyah fi Isra wa M’iraj Khayr al Bariyyah
5) Al Zakha’ir al Muhammadiyyah
6) Zikriyat wa Munasabat
7) Al Bushra fi Manaqib al Sayyidah Khadijah al Kubra
Usul:
1) Al-Qawa‘id al Asasiyyah fi Usul al Fiqh
2) Sharh Manzumat al Waraqat fi Usul al Fiqh
3) Mafhum al Tatawwur wa al Tajdid fi al Shari‘ah al Islamiyyah
Fiqh:
1) Al Risalah al Islamiyyah Kamaluha wa Khuluduha wa ‘Alamiyyatuha
2) Labbayk Allahumma Labbayk
3) Al Ziyarah al Nabawiyyah bayn al Shar‘iyyah wa al Bid‘iyyah
4) Shifa’ al Fu’ad bi Ziyarat Khayr al ‘Ibad
5) Hawl al Ihtifal bi Zikra al Mawlid al Nabawi al Sharif
6) Al Madh al Nabawi bayn al Ghuluww wa al Insaf
Tasawwuf:
1) Shawariq al Anwar min Ad‘iyat al Sadah al Akhyar
2) Abwab al Faraj
3) Al Mukhtar min Kalam al Akhyar
4) Al Husun al Mani‘ah
5) Mukhtasar Shawariq al Anwar
Lain-lain:
1) Fi Rihab al Bait al- aram (Sejarah Makkah)
2) Al Mustashriqun Bayn al Insaf wa al ‘Asabiyyah (Kajian Berkaitan Orientalis)
3) Silatu Riyadhah Biddin (Hubungan Sukan dengan Agama)
4) Al Qudwah al Hasanah fi Manhaj al Da‘wah ila Allah (Teknik Dawah)
5) Ma La ‘Aynun Ra’at (Butiran Syurga)
6) Nizam al Usrah fi al Islam (Peraturan Keluarga Islam)
7) Al Muslimun Bain al Waqi‘ wa al Tajribah (Muslimun,
Pengalaman
8) Kashf al Ghummah (Ganjaran Membantu Muslimin)
9) Ad Dawah al Islahiyyah (Dakwah Pembaharuan)
10) Fi Sabil al Huda wa al Rashad (Koleksi Ucapan)
11) Syaraf al Ummah al Islamiyyah (Kemulian Ummah Islamiyyah)
12) Usul al Tarbiyah al Nabawiyyah (Metodologi Pendidikan Nabawi)
13) Nur al Nibras fi Asanid al Jadd al Sayyid Abbas (Kumpulan Ijazah Datuk beliau, Sayyid Abbas)
14) Al ‘Uqud al Lu’luiyyah fi al Asanid al Alawiyyah (Kumpulan Ijazah Bapa beliau, Sayyid Alawi)
15) Al Tali‘ al Sa‘id al Muntakhab min al Musalsalat wa al Asanid (Kumpulan Ijazah)
16) Al ‘Iqd al Farid al Mukhtasar min al Athbah wa al Asanid (Kumpulan Ijazah)
Senarai di atas merupakan antara kitab Sayyid Muhammad yang telah dihasilkan dan diterbitkan. Terdapat banyak lagi kitab yang tidak disebutkan dan juga yang belum dicetak.Kita juga tidak menyebutkan banyak penghasilan turath yang telah dikaji, dan diterbitkan buat pertama kali, dengan nota kaki dan komentar dari Sayyid Muhammad. Secara keseluruhannya, sumbangan Sayyid Muhammad amat agung. Banyak hasil kerja Sayyid Muhammad telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa.
Aktiviti lain
Sayyid Muhammad merupakan seorang pembimbing kepada ajaran dan kerohanian Islam yang sebenar dan telah bermusafir ke serata Asia, Afrika, Eropah dan Amerika, menyeru manusia ke arah kalimah Allah dan Rasul terakhirNya Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam.
Di Asia Tenggara khasnya, Sayyid Muhammad secara peribadi telah mengasaskan dan membiayai lebih 70 buah Sekolah Islam untuk melawan aktiviti dakyah Kristian. Sejumlah besar penganut Kristian dan Budha telah memeluk Islam di tangannya hanya setelah melihat Nur Muhammad yang bersinar di wajahnya.
Ke mana sahaja beliau pergi, para pemimpin, ulama’ dan masyarakat di tempat tersebut akan menyambutnya dengan penuh meriah. Beliau seringkali memberi ceramah kepada ratusan ribu manusia.
Beliau amat disayangi dan dicintai oleh Muslimin di seluruh dunia, bukan sahaja kerana beliau keturunan Rasulullah SAW, tetapi juga kerana ilmunya yang luas, hikmahnya, akhlak serta watak rohaninya. Beliau juga amat terkenal amat pemurah dengan ilmu, kekayaan dan masanya.
Pendekatan
Sayyid Muhammad mengikuti dan menyelusuri tradisi arus utama dan majoriti Islam, jalan Ahlu Sunnah Wal Jamaah, jalan toleransi dan sederhana, pengetahuan dan kerohanian, serta kesatuan dalam kepelbagaian. Beliau percaya kepada prinsip berpegang dengan empat mazhab yang masyhur, tetapi tanpa fanatik. Beliau mengajar rasa hormat kepada ulama’ dan Auliya agung yang lepas.
Beliau menentang sikap sewenang-wenangnya mengatakan Muslim lain sebagai Kafir dan Musyrik, yang telah menjadi tanda dan sifat utama sebahagian fahaman hari ini.
Beliau amat menentang dan kritis terhadap mereka yang digelar reformis (Islah) abad ke-20 yang dengan mudah ingin menghapuskan Islam generasi terdahulu menggunakan nama Islam yang suci.
Beliau juga memahami bahawa mencela kesemua Ash’ari, atau kesemua Hanafi, Syafi’e dan Maliki, kesemua sufi, seperti mana yang dilakukan oleh sebahagian fahaman hari ini adalah sama dengan mencela keseluruhan Ummah Islam ribuan tahun yang lampau. Ia hanya merupakan sifat dan pendekatan musuh Islam, dan bukannya rakan.
Sayyid Muhammad juga amat mempercayai bahawa ulama’–ulama’ Mazhab yang agung mengikuti Sunni Sufi sejak beratus tahun yang lalu, adalah penghubung kita kepada al Quran dan Sunnah, dan bukanlah penghalang antara keduanya dengan kita, seperti yang dipercayai sesetengah pihak.
Kefahaman yang benar berkenaan al Quran dan Sunnah ialah kefahaman yang berasaskan tafsiran para ulama’ agung Islam, dan bukan dengan sangkaan para ekstrimis zaman moden ini yang tidak berfikir dua kali sebelum mencela majoriti Muslim di seluruh dunia. Sayyid Muhammad juga berpendapat majoriti ummah ini adalah baik. Kumpulan-kumpulan minoriti yang fanatiklah yang perlu mengkaji semula fahaman ekstrim mereka.
Sayyid Muhammad merupakan pendukung sebenar Sufi yang berasaskan Syariah, Sufi para Auliya’ agung dan solehin ummah ini. Beliau sendiri merupakan mahaguru kerohanian di tingkat yang tertinggi, berhubungan dengan kebanyakan peraturan kerohanian Islam, melalui para Masyaikh Tariqah yang agung.
Beliau turut mempercayai bahawa membaca Zikir, samaada secara bersendirian atau berkumpulan, adalah bahagian penting dalam kerohanian seseorang. Semua pelajarnya dimestikan bertahajjud dan membaca wirid pagi dan petang.
Sayyid Muhammad juga beranggapan, ummat Islam perlu menggunakan segala hasil yang ada untuk meningkatkan taraf ummah mereka dari sudut kerohanian, masyarakat dan juga material, dan tidak membuang masa yang berharga dengan berbalah pada perkara-perkara kecil. Beliau percaya Muslim tidak seharusnya mencela satu sama lain dalam perkara yang telah diselisihkan oleh para ulama’. Mereka sebaliknya perlu berganding bahu bersama untuk memerangi apa yang telah disepekati sebagai kejahatan dan dosa.
Pandangan dan pendirian Sayyid Muhammad ini digambarkan dalam tulisannya yang terkenal, Mafahim Yajib An Tusahhah (Kefahaman Yang Perlu Diperbetulkan), sebuah buku yang mendapat penghargaan meluas di seluruh dunia Islam dan diiktiraf tinggi di lingkaran para ulama’.
Penutup
Tidak diragui lagi, kehadiran Sayyid Muhammad Alawi merupakan rahmat buat ummah ini. Beliau merupakan waris kepada kekasih kita Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam dari sudut darah daging serta kerohanian. Masyarakat Makkah dan Madinah teramat mencintai beliau seperti mana dilihat pada solat jenazah beliau.
Siapa sahaja yang pernah menemui beliau jatuh cinta dengan beliau. Rumahnya di kota suci Makkah sentiasa terbuka sepanjang tahun untuk ulamak dan para penuntut yang menziarahi, ribuan orang yang menuju kepadanya. Beliau juga tidak kenal erti takut dalam berkata yang benar dan telah mengalami detik-detik kepayahan kerana kebenaran. Walaubagaimanapun pertolongan Allah kelihatan sentiasa bersama dengannya. RadhiyAllahu Anhu WaArdhaah. Ameen.
Maklumat lanjut kehidupan dan pencapaiannya boleh dirujuk biografinya yang hebat bertajuk, Al-Maliki ‘Alim Hijjaz, karangan penulis dan sejarahwan terkenal Makkah, Dr Zuhair Kutbi.
Pemergiannya
Beliau telah meninggalkan kita pada hari Jumaat, 15 Ramadhan (bersesuaian dengan doanya untuk meninggal dunia pada bulan Ramadhan), dalam keadaan berpuasa di rumahnya di Makkah. Kematiannya amat mengejutkan.
Benar. Ia adalah satu kehilangan yang besar.. Ucapan takziah diucapkan dari seluruh dunia Islam. Solat janazah beliau dilakukan di seluruh pelusuk dunia. Beliau telah pergi pada bulan Ramadhan dan pada hari Jumaat.
Saya adalah antara yang menunaikan solat jenazah (pertama di rumah beliau diimamkan oleh adiknya Sayyid Abbas, dan seterusnya di Masjidil Haram dengan Imam Subayl. Ratusan ribu manusia membanjiri upacara pengebumiannya. Semua orang menangis dan sangat bersedih… Ia merupakan satu situasi yang tidak dapat dilupakan… Allahu Akbar…
Betapa hebatnya beliau… betapa besarnya kehilangan ini… Betapa ramainya yang menyembahyangkannya… Saya tahu mata saya tidak pernah menyaksikan seorang spertinya… Seorang yang amat dicintai oleh masyarakat seperti beliau… seorang ulama’ yang berkaliber dan berpengetahuan serta berhikmah…
Terdapat sekurang-kurangnya 500 orang tentera diperintah oleh kerajaan Arab Saudi di perkuburan Ma’ala untuk mengawal ribuan orang yang menangisinya. Kerabat diraja juga turut hadir. Para manusia menempikkan Kalimah dengan kuat sepanjang uapcara pengebumian beliau, memenuhi Makkah dari Masjidil Haram sehingga ke tanah perkuburan.
Beliau disemadikan di sebelah bapanya, berhampiran maqam nendanya Sayyidah Khadijah. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau ada menghubungi seorang pelajar lamanya di Indonesia melalui telefon dan bertanyanya adakah dia akan datang ke Makkah pada bulan Ramadhan. Apabila dia menjawab tidak, Sayyid Muhammad bertanya pula, "tidakkah engkau mahu menghadiri penegebumianku?".
Tepat sekali, beliau pergi pada bulan Ramadhan di pagi Jumaat… apakah lagi bukti yang diperlukan menunjukkan penerimaan Allah?! Makkah menangisi pemergiannya… Seluruh dunia Islam menangisi kehilangannya. Moga Allah menganugerahkan beliau tempat yang tertinggi di Jannah, bersama-sama kekasihnya dan datuknya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam. Ameen.
Selesai diterjemah pada :
1.20 Petang, 26 Ramadhan 1425H di Haiyyu Sabiek, Kaherah.
Wallahu A’lam. Wassollahu Ala Saiyidina Rasulillah WaAla Alihi Wasohbihi Waman Walah, Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin.
Oleh muridnya: Fakhruddin Owaisi al Madani
Terjemahan: Syed Abdul Kadir Aljoofre