Monday, March 7, 2011

Bertawassul dengan makam Nabi SAW


PADA minggu ini kita melihat pula perbuatan para sahabat yang bertawassul dengan makam Nabi SAW. Perbuatan mereka ini boleh dijadikan sandaran bahawa ia bukanlah suatu kesalahan dan menjernihkan lagi kefahaman kita tentang tawassul ini.

Berkata al-Imam al-Hafiz al-Darimi di dalam kitabnya al-Sunan, bab kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW selepas kewafatannya: Pada suatu masa, penduduk Madinah ditimpa kemarau yang dahsyat. Maka mereka mengadu kepada Sayyidah Aisyah RA, lalu Sayyidah Aisyah RA berkata, "Perhatikanlah makam Rasulullah SAW. Maka buatlah sebuah tingkap menghadap ke arah langit hingga tiada satu atap yang menghalang di antara maqamnya dengan langit."

Aus ibnu Abdullah berkata: "Maka mereka pun membuat tingkap tersebut. Lalu selepas itu, kami diturunkan hujan hingga rumput-rumput tumbuh dengan subur dan unta-unta menjadi gemuk, (seolah-olah) badannya pecah kerana banyaknya lemak. Maka tahun itu dinamakan Tahun al-Fatq (binatang gemuk dan berlemak) (Sunan al-Darimi Jld 1, H: 43)."

Inilah yang dinamakan bertawassul dengan makam baginda SAW. Bukan kerana ia adalah kubur semata-mata tetapi kerana di dalamnya disemadikan jasad makhluk yang paling mulia dan kekasih Tuhan semesta alam. Maka ia mendapat kemuliaan kerana berhampiran dengan Baginda SAW dan layaklah ia mendapat kedudukan yang mulia.

Jika dikaji sanad hadis ini maka kita dapati ia tidak mengapa (untuk digunakan). Bahkan di sisi saya, sanadnya adalah amat baik. Ia telah diterima baik oleh ulama dan mereka telah menjadikan sanad seperti ini sebagai pendukung kepada hadis yang lain, bahkan dengan sanad yang mempunyai kriteria yang lebih rendah daripada itu.

Sebahagian ulama berkata bahawa athar ini mauquf (terhenti atau disandarkan) kepada Aisyah, dan beliau adalah seorang sahabat, sedangkan perbuatan sahabat tidak boleh dijadikan sebagai hujah.

Jawapannya ialah, sekalipun bertawassul dengan makam Rasulullah SAW hanyalah lahir daripada idea Aisyah, namun beliau adalah seorang yang terkenal dengan keluasan dan kesaratan ilmunya dan beliau melakukan perbuatan tersebut di Madinah, di tengah-tengah ulama yang terdiri daripada sahabat yang hebat.

Kisah ini sudah cukup bagi kami menjadikan dalil bahawa Sayyidah Aisyah, Ummul Mukminin mengetahui bahawa Rasulullah SAW tetap mengasihi dan memberikan pertolongan kepada umatnya selepas kewafatannya. Orang yang menziarahinya dan memohon syafaat dengannya pasti akan diberikan syafaat sebagaimana yang dilakukan oleh Ummul Mukminin.

Perbuatannya ini tidak termasuk di dalam kategori amalan syirik atau salah satu jalan menuju kesyirikan sebagaimana anggapan salah golongan yang mempermudahkan urusan mengkafirkan dan menyesatkan orang lain. Sesungguhnya Aisyah dan orang yang menyaksikannya bukanlah orang yang buta dan jahil tentang kesyirikan.

Kisah ini membatalkan hujah mereka yang suka mengkafirkan dan menyesatkan golongan yang mengharuskan bertawassul dengan Nabi SAW selepas kewafatannya. Kisah ini telah menegaskan bahawa Nabi SAW tetap mengambil berat dan prihatin tentang keadaan umatnya di dalam maqamnya sekalipun telah wafat. Telah diriwayatkan bahawa Sayyidah 'Aisyah RA pernah berkata:

"Pada suatu ketika, aku masuk ke dalam rumahku yang terdapat makam Rasulullah SAW dan ayahandaku di dalamnya dan aku tidak menutup auratku di situ, dan aku berkata tidak mengapa kerana yang ada hanyalah suami dan ayahandaku.

"Setelah Umar ibn al Khattab dikebumikan di samping makam Rasulullah SAW dan ayahandaku, maka demi Allah aku tidak pernah masuk ke dalamnya melainkan dalam keadaan menutup aurat kerana malu dengan Umar RA." (riwayat Ahmad, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Haithami mengatakan dalam Majma' al-Zawaid bahawa rijalnya sahih).

Aisyah tidak melakukan suatu perkara yang batil. Tetapi dia mengetahui bahawa Nabi SAW dan kedua orang temannya mengetahui siapakah insan yang berada di sisi kubur mereka.

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Wednesday, December 22, 2010

Bertawassul Dengan Nabi SAW Semasa Hayatnya Dan Selepas Kewafatannya


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 21 December 2010

Sesudah kita menghuraikan tentang bolehnya bertawassul dengan Nabi SAW sebelum hayat Baginda SAW, mari pula kita melihat hukum tawassul semasa hayatnya dan selepas wafat Baginda SAW. Untuk itu marilah kita merujuk kepada beberapa dalil utama yang berkaitan.


Diriwayatkan daripada Uthman ibn Hunaif RA berkata: Aku mendengar, seorang lelaki buta datang kepada Rasulullah SAW, lalu mengadu tentang penglihatannya yang hilang. Dia berkata, “Wahai Rasulullah! “Doakanlan keafiatan untukku.” Maka Rasulullah SAW bersabda, “Jikalau kamu mahu, aku akan lewatkannya (tidak mendoakannya supaya dia dapat balasannya di Akhirat) dan jikalau kamu mahu, aku akan mendoakan keafiatan untuk kamu.” Lelaki itu menjawab “Doakanlah.” Maka Baginda SAW menyuruh lelaki buta itu berwudhu’ dan memperelokkan wudhu’nya serta melakukan solat dua rakaat, kemudian berdoa dengan doa ini:


“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan bertawajjuh kepadaMu dengan (hak) NabiMu; Muhammad SAW; Nabi pembawa rahmat, wahai Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanmu, agar engkau tunaikan hajatku ini. Ya Allah! Syafa’atkanlah dia untukku dan syafa’atkanlah aku padanya.”


Telah berkata al Hakim: Hadith ini adalah sohih sanadnya dan tidak dikeluarkan oleh al Bukhari dan Muslim (Al Mustadrak, Jld 1, H: 519). Telah berkata al Zahabi tentang hadith ini: Ia adalah sohih. Telah berkata al Tirmizi di dalam bab-bab Berdoa di bahagian akhir kitab Sunannya: Ini ialah hadith hasan sohih gharib, kami tidak mengetahuinya melainkan dari wajah ini dari hadith Abu Ja’far, dan dia bukan al Khatmi.


Aku berkata: Yang benarnya, Abu Ja’far ialah al Khatmi al Madani sebagaimana yang didatangkan dengan jelas di dalam riwayat-riwayat al Tabrani, al Hakim dan al Baihaqi. Al Tabrani menambah di dalam al Mu’jam al Soghir bahawa namanya ialah ‘Umair ibn Yazid dan dia adalah seorang yang thiqah (dipercayai).


Telah berkata al ‘Allamah al Muhaddith Abdullah ibn Siddiq al Ghumari di dalam risalahnya Ittihaf al Azkiya’: Tidak diterima akal, para hafiz bersatu di dalam mentashihkan hadith yang ada di dalamnya sanadnya yang majhul, terutamanya al Zahabi, al Munziri dan al Hakim.

Telah berkata al Munziri: Ia juga diriwayatkan oleh al Nasaie, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah di dalam Sohihnya.(al Targhib wa al Tarhib pada kitab al Nawafil, bab al Targhib fi Solat al Hajah (Jld 1, H: 474).

Doa tawassul ini bukan sahaja dikhususkan semasa hayat Baginda SAW. Bahkan, sebahagian sahabat telah menggunakan ucapan tawassul ini selepas kewafatan Baginda SAW. Al Tabrani telah meriwayatkan hadith ini, dan menyebut pada awal kisah, iaitu:

Seorang lelaki telah menemui Uthman ibn ‘Affan RA dengan membawa hajatnya. Namun demikian, Uthman RA tidak berpaling kepadanya dan tidak memberi perhatian tentang hajatnya. Maka dia menemui Uthman ibn Hunaif RA dan mengadu perkara tersebut kepadanya. Maka Uthman ibn Hunaif RA berkata kepadanya, “Pergilah kamu ke bilik air, lalu berwudhu’lah, kemudian datang ke masjid dan solat di dalamnya dua raka’at. Kemudian sebutlah:

“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan bertawajjuh kepadaMu dengan (hak) Nabi kami; Muhammad SAW; Nabi pembawa rahmat, wahai Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanmu agar Dia menunaikan hajatku…”, dan sebutlah hajat kamu.

Maka lelaki itu pun beredar dan melakukan apa yang diperkatakan kepadanya. Kemudian dia datang ke rumah Uthman RA. Maka penjaga pintu rumah Uthman RA menariknya dan membawanya masuk menemui Uthman RA. Lalu dia dipersilakan duduk bersamanya di atas sehelai tikar dan Uthman bertanya, “Apakah hajat kamu?” Maka lelaki itu menyebut hajatnya dan hajatnya diperkenankan. Kemudian Uthman RA berkata, “Aku tidak teringat langsung hajat kamu hinggalah saat ini.” Uthman RA berkata lagi, “Apa sahaja hajat kamu, datanglah berjumpa dengan kami.” Setelah lelaki itu meninggalkan Uthman ibn ‘Affan RA, dia pergi menemui Uthman ibn Hunaif RA dan berkata, “Semoga Allah membalasmu dengan sebaik-baik balasan. Tidaklah dia memperdulikan hajatku dan tidak memandangku sebelum ini hinggalah kamu bercakap dengan Khalifah tentang keadaanku.” Maka berkata Uthman ibn Hunaif RA, “Demi Allah, aku tidak bercakap dengannya (tentang keadaan kamu), tetapi aku telah menyaksikan bahawa Rasulullah SAW pernah didatangi oleh seorang lelaki buta. Maka dia mengadu kepada Baginda SAW tentang penglihatannya… (hadis di atas)”

Berkata al Munziri: Hadith ini telah diriwayatkan oleh al Tabrani. Beliau berkata selepas menyebut jalan-jalan hadith tersebut: Hadith ini adalah sohih. (Al Munziri ‘al Targhib wa al Tarhib’ Jld 1, H: 476 dan al Haithami ‘Majma’ al Zawaid’ Jld 2, H: 279)

Berkata Ibnu Taimiyyah: Al Tabrani berkata: Hadith ini telah diriwayatkan oleh Syu’bah daripada Abu Ja’far dan namanya ialah ‘Umair ibn Yazid. Beliau merupakan seorang yang thiqah, telah meriwayatkannya secara tafarrud (berseorangan) Uthman ibn Umar daripada Syu’bah. Berkata Abu Abdullah al Maqdisi: Hadith ini adalah sohih.

Saya berkata: Berkata Ibnu Taimiyyah: Al Tabrani menyebut Uthman ibn Umar meriwayatkannya secara tafarrud (sendirian) berdasarkan pencapaian ilmunya, dan (dalam keadaan) masih belum sampai kepadanya riwayat Ruh ibn ‘Ubadah daripada Syu’bah. Sedangkan, isnad yang sohih menerangkan bahawa Uthman ibn Umar tidak keseorangan meriwayatkannya. (Ibnu Taimiyyah, Qa’idah Jalilah fi al Tawassul wa al Wasilah H: 96)

Dengan ini, jelaslah bahawa kisah ini telah disohihkan oleh al Tabrani dan al Hafiz Abu Abdullah al Maqdisi. Pensohihan ini juga dinaqalkan oleh al Hafiz al Munziri dan al Hafiz Nuruddin al Haithami serta Ibnu Taimiyyah.

Kesimpulan dari kisah ini, Uthman ibn Hunaif RA yang merupakan periwayat hadith ini dan menyaksikan kisah tersebut, telah mengajar orang yang mengadu kepadanya tentang kelewatan Khalifah Uthman RA menunaikan hajatnya doa ini yang terkandung di dalamnya tawassul dengan Nabi SAW dan seruan kepada Baginda SAW untuk meminta tolong dengan Baginda SAW selepas kewafatannya. Setelah lelaki itu menyangka bahawa hajatnya terlaksana disebabkan pemberitahuan Uthman ibn Hunaif RA kepada Khalifah RA, lekas-lekas Uthman ibn Hunaif RA menafikannya. Lantas beliau menceritakan kepadanya tentang peristiwa yang telah didengari dan dilihatnya untuk menjelaskan bahawa hajatnya diterima kerana tawassul, doa dan istighathahnya dengan Rasulullah SAW. Bahkan, dia menguatkan lagi hal tersebut dengan sumpahnya bahawa dia tidak memberitahu khalifah tentang aduan lelaki itu. Maka jelaslah bahawa ada asas yang kukuh bagi membolehkan bahkan menggalakkan bertawassul dengan Nabi SAW semasa hayatnya dan selepas wafat Baginda SAW.