Saturday, July 24, 2010

Biografi Tokoh Sufi Yang Masyhur



"Beliau adalah merupakan seorang ulama' ahli sufi dan pejuang Islam yang terkenal. Sayyid Ahmad al Badawi RA telah berjuang dan melibatkan diri dalam perang Salib antara umat Islam dan orang-orang Krisitian pada ketika itu. Pada tahun 1248 Masihi, Sayyid Ahmad al Badawi RA bersama dengan sebahagian pengikutnya telah bergerak dengan semangat menuju ke kawasan tentera Salib yang berdekatan dengan Mansurah. Dengan kita membaca kisah-kisah beliau, akan datang semangat cintakan Islam. Ini kerana penting bagi kita untuk mengenal ulama' dan para wali Allah, mereka telah banyak menghabiskan usia dan waktu mereka demi kepentingan umat Islam.

Imam Sufyan ibn Uyainah
RA pernah berkata: "Hikayat-hikayat itu adalah satu batalion daripada batalion tentera-tentera Allah. Dengannya Allah menguatkan hati-hati para waliNYA".

Buku ini juga menyelitkan zikir-zikir, salawat-salawat dan qosidah ke atas Rasulullah SAW yang diilhamkan kepada Sayyid Ahmad al Badawi RA.

Bacalah dalam keadaan kamu mencintainya, pasti kamu akan merasakan hubungan kamu dengannya akan berhasil...

Buku terbaru cetakan kali ke-2


Buku ini sebagai panduan ilmu bagi sesiapa

yang ingin menziarahi Para Kekasih Allah


Tuesday, July 20, 2010

Jangan Mudah Mengkafirkan...


DI dalam kitab Mafahim (Kefahaman-kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki telah memperjelaskan fahaman tentang pelbagai isu agama yang menjadi pertikaian oleh sebahagian orang seperti tabarruk, tawassul, ziarah kubur dan seumpamanya.

Ada yang sampai ke tahap menuduh syirik dan mengkafirkan sesama Islam kerana isu-isu ini. Oleh itu pengarang kitab ini memulakan tulisannya dengan memperbetulkan semula kefahaman dalam hal menghukum kafir sesama Islam.

Beliau menegaskan bahawa, ramai orang telah salah faham - semoga Allah SWT memperbaiki dan menunjukkan mereka jalan yang benar - tentang sebab-sebab sebenar yang mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada Islam dan wajib dihukum sebagai kafir.

Mereka kelihatan begitu mudah dan terburu-buru menghukum kafir ke atas saudara seagama hanya kerana wujudnya percanggahan pendapat dengan mereka, hinggakan hanya sedikit sahaja kaum Muslimin yang berbaki di muka bumi ini.

Walau bagaimanapun, kita memandang sikap keterlaluan mereka dengan baik sangka. Kemungkinan, niat mereka baik - demi menjaga kemurnian ajaran Islam daripada perbuatan syirik melalui konsep amar makruf dan nahi mungkar.

Namun, mereka lupa, amar makruf dan nahi mungkar perlu kepada sikap berhikmah (bijaksana) dan peringatan yang baik. Jika ada yang perlu didebatkan sekalipun, haruslah dilakukan dengan cara terbaik, sebagaimana firman Allah SWT: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad!) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. (al-Nahl: 125)

Cara ini lebih mudah diterima dan menghasilkan apa yang diharapkan. Adapun menyanggahi cara ini, merupakan suatu kesilapan dan kebodohan.

Oleh itu, apabila kamu mengajak seseorang Muslim yang mendirikan solat, melaksanakan apa yang difardukan oleh Allah SWT, menjauhi segala yang diharamkan-Nya, menyebarluaskan dakwah Islam dan aktif memakmurkan masjid kepada perkara-perkara yang pada pandangan kamu adalah benar, tetapi pandangannya berbeza dengan pandangan kamu, dan pandangan ulama mengenainya masih belum disepakati sejak dahulu hingga sekarang.

Maka dia enggan menurut pandangan kamu, lalu kamu melemparkan tuduhan "kafir" kepadanya hanya kerana beberapa perbezaan pendapat, maka sebenarnya kamu telah melakukan sebesar-besar kemungkaran dan perbuatan yang dilarang keras oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka kamu diseru supaya melaksanakannya dengan jalan yang berhikmah dan baik.

Al-Allamah al-Imam Sayyid Ahmad Masyhur al-Haddad RA mengatakan, "Sesungguhnya telah ditetapkan oleh ijmak ulama larangan mengkafirkan seseorang ahli Kiblat; kecuali jika dia mengingkari Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa, atau melakukan perbuatan syirik secara terang-terangan yang tidak perlu lagi diandaikan takwilannya, atau mengingkari kenabian Nabi Muhammad SAW, atau mengingkari sesuatu yang telah pasti kebenarannya dalam agama, atau mengingkari suatu masalah atau hadis mutawatir (yang telah pasti kesahihannya), atau pun sesuatu yang telah disepakati oleh ulama."

Dalam ajaran Islam, ilmu agama yang diketahui secara pasti (kebenarannya) itu; seperti masalah tauhid, kenabian, sempurnanya risalah dengan perutusan Nabi Muhammad SAW, kebangkitan semula pada hari Kiamat, hisab, pembalasan pada hari Kiamat, syurga dan neraka. Jika seorang Muslim mengingkari hal-hal seperti itu, maka dia dinilai sebagai kafir. Tiada keuzuran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahui perkara-perkara asas seperti itu, melainkan bagi orang-orang yang baru memeluk agama Islam. Mereka dimaafkan sehinggalah mereka mempelajarinya, dan selepas itu mereka tidak boleh dimaafkan lagi jika mengingkarinya.

Manakala hadis mutawatir ialah khabar atau hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi yang dipercayai dan tidak mungkin melakukan pembohongan, yang (diterima) daripada sejumlah perawi seperti mereka; baik dari aspek isnad (rangkaian orang yang meriwayatkannya) mahu pun tabaqat (ramainya bilangan perawi).

Adapun isnad, seperti hadis: "Sesiapa yang melakukan pembohongan ke atasku, maka dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka."

Manakala dari aspek tabaqat (mutawatir pada setiap peringkat) seperti mutawatir-nya al-Quran. Al-Quran itu mutawatir tanpa ada had; baik di timur mahupun di barat; dalam mempelajari, membaca, mahupun menghafaznya, yang diterima dan diriwayatkan daripada sekelompok yang banyak kepada kelompok yang banyak, daripada satu generasi kepada generasi yang lain. (Oleh kerana terlalu ramai perawinya sehingga tidak terkira), maka al-Quran tidak memerlukan kepada isnad.

Kadang kala, mutawatir itu berlaku pada amalan dan pewarisan; seperti amalan sesuatu semenjak zaman Nabi Muhammad SAW sampai sekarang, diamalkan dan dipraktikkan, serta tiada sesiapa yang mengingkarinya (khususnya ulama).

Kadang kala, terjadi mutawatir dari segi ilmu seperti mutawatirnya mukjizat Nabi Muhammad SAW. Meskipun sebahagiannya ada yang diriwayatkan secara ahad (individu), tetapi secara umumnya ia dapat dinilai mutawatir dengan ilmu pengetahuan setiap Muslim.

Sesungguhnya menghukum seseorang Muslim itu kafir bukan pada perkara-perkara yang telah kami terangkan di atas, adalah suatu yang amat bahaya. Dalam hadis, Rasulullah SAW menegaskan: Jika seseorang berkata kepada saudaranya, "Wahai kafir!" Maka kekafiran itu akan kembali (menimpa) kepada salah seorang di antara keduanya. (riwayat Imam al Bukhari daripada Abu Hurairah RA)

Kesimpulannya, pengarang kitab ini benar-benar mengingatkan kita, supaya berhati-hati daripada sembarangan melabel orang lain sebagai kafir bukan pada tempat-tempat atau perkara-perkara yang telah dijelaskan sebelum ini, kerana perbuatan seperti itu mengandungi bahaya yang amat besar. Hanya Allah SAW sahajalah yang dapat menunjukkan jalan yang lurus, dan hanya kepada-Nya kita semua akan dikembalikan.

Monday, July 12, 2010

Kegigihan Imam al Bukhari Dalam Menimba Ilmu Hadith Rasulullah SAW


Al Hafiz Ibnu Kathir berkata di dalam Al Bidayah wa al Nihayah tentang biografi Imam al Bukhari.

“Beliau adalah seorang jaguh terunggul dalam ilmu Hadith, seorang yang sungguh berjasa besar ke atas kaum Muslimin sampai ke Hari Kiamat. Beliau akan melakukan perjalanan ke semua tempat yang ada ulama’-ulama’ hadith supaya dapat meriwayatkan beberapa hadith yang tidak dijumpainya. Beliau menulis hadith lebih daripada 1 ribu orang guru.

Pernah pada suatu malam, Imam al Bukhari bangun dari tidurnya. Dia pun menyalakan lampu dan mencatat ilmu yang terlintas di fikirannya. Lalu beliau memadamkan lampu kembali. Kemudian beliau bangun lagi dan melakukan perkara yang sama. Demikianlah yang beliau lakukan berulang-ulang sampai 20 kali”.

Thursday, July 8, 2010

Putihkan Hatimu Sebelum Ia Dihitamkan



Syeikh Ibnu ‘Atoillah al Sakandari RA menyebutkan di dalam kitabnya Bahjat al Nufus bahawa hati adalah ibarat sebuah pohon. Bilamana ia disiram dengan air ketaatan maka buahnya akan nampak dengan jelas. Mata akan membuahkan penjagaan. Telinga akan membuahkan perhatian terhadap al Quran dan ilmu. Lidah akan membuahkan zikir dan ucapan yang baik. Kedua tangan dan kaki akan membuahkan amal-amal kebajikan, taat serta sikap mahu membantu orang. Sementara bila hati kering, buahnya akan gugur dan manfaatnya hilang.

Oleh kerana itu, kalau hati sudah mati, perbanyakkanlah berzikir. Kunjungilah majlis orang-orang yang soleh dan bijak. Jangan seperti orang sakit yang berkata, “Saya tidak mahu berubat, nanti akan sembuh dengan sendirinya. Pasti lama-kelamaan sakitnya juga akan hilang”. Orang seperti ini harus dinasihati dengan mengatakan, “Engkau baru dapat sembuh kalau mahu berubat. Tidak ada jaminan penyakitnya akan hilang sebelum berusaha mencari sebab”.

Hati ibarat cermin, sedangkan nafsu seperti asap atau wap. Setiap kali asap itu melekat di cermin, cermin itu akan menghitam sehingga kejernihan dan keindahannya menjadi pudar. Hati yang lemah tak ubahnya seperti cermin milik orang tua yang sudah tidak punya perhatian lagi untuk membersihkannya. Dia mengabaikan cermin itu dan tak pernah lagi dia memakai sehingga wajahnya pun tak keruan.

Sebaliknya, hati yang mengenal Allah seperti cermin milik pengantin wanita yang cantik. Setiap hari dia bersihkan cermin tersebut dan memakainya sehingga tetap bening dan berkilat.

Rasulullah SAW bersabda, “Hati manusia lebih bergolak daripada kuali yang sedang mendidih di atas api”. Betapa banyak orang Mukmin yang hatinya kadang-kadang menyatu dengan Allah tetapi sebentar kemudian berpisah. Betapa banyak ahli ibadah yang menghabiskan malamnya dengan Allah, tetapi ketika matahari menyinsing, dia tak ingat lagi kepadaNya. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW bersabda, “Wahai yang membolak-balikkan hati dan pandangan. Teguhkanlah hatiku ini di atas agama dan ketaatan padaMu”.

Syeikh Ibnu ‘Atoillah al Sakandari RA berkata lagi, “Jika engkau hendak membersihkan dan membuat hatimu kembali menjadi putih serta mengangkat karat yang melekat padanya, hendaklah engkau melakukan empat perkara iaitu:

Pertama: Banyak berzikir dan membaca al Quran

Kedua : Selalu berdiam dan sedikit berbicara

Ketiga : Menyendiri untuk bermunajat kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui

Keempat: Sedikit makan dan minum.


Sebaliknya ada empat perkara yang dapat mematikan hati.


Pertama: Duduk bersama orang kaya

Kedua : Berbicara dengan wanita

Ketiga : Jarang berzikir

Keempat: Banyak makan.


Bila ingin membersihkan air, engkau harus menjauhkannya dari barang-barang kotor yang dapat merubahnya menjadi najis. Sementara itu anggota badan manusia ibarat saluran air yang mengalir menuju ke hati dan menumpahkan airnya di sana.

Oleh kerana itu, janganlah engkau menyiram hatimu dengan perbuatan hina seperti mengumpat, membuat fitnah, berkata kotor, mendengar yang terlarang, melihat kepada perkara yang tidak halal, memakan yang haram, dan sejenisnya. Hati tidak dikotori oleh yang keluar darinya. Tetapi, ia dikotori oleh yang masuk ke dalamnya.

Hati baru bersinar dan bercahaya dengan memakan yang halal, selalu berzikir, dan membaca al Quran dengan difahami akan maknanya, duduk bersama para ulama’ dan orang-orang Mukmin, memelihara diri dari yang terlarang dan makruh serta cemas terhadap segala maksiat.

Peliharalah cahaya hatimu wahai saudaraku. Janganlah engkau membuka tatapan mata kecuali untuk menambah ilmu atau hikmah. Siapa yang ingin melihat kepada berbagai macam hati, hendaknya dia melihat berbagai jenis rumah di daerahnya. Ada rumah yang sudah rosak dan menjadi tempat kotoran sampah. Ada rumah yang tak bercahaya, lalu gelap gelita. Ada rumah yang menjadi tempat berkicaunya burung gagak dan hantu. Dan ada pula rumah yang ramai penghuninya, menyebarkan haruman wangi-wangian dan bunga-bunga, serta disinari oleh kilauan bintang bergemerlapan.

Lalu perhatikan hatimu, termasuk manakah ia sehingga engkau benar-benar mengetahui. Bila ketika solat, membaca al Quran, berzikir, dan berkhalwat, hatimu tidak hadir, tangisilah dirimu, taburilah kepalamu dengan tanah, serta berdoalah agar Allah memberi hati yang khusyuk. Ketahuilah bahawa orang yang hatinya sakit kerana maksiat dan nifak, dia takkan dapat memakai baju ketaqwaan. Bila hatimu bebas dari segala penyakit nafsu dan syahwat, bererti engkau telah memperolehi taqwa.

Untuk mengubati hati yang sakit ada dua cara. Pertama, dengan mempergunakan sesuatu yang bermanfaat iaitu ketaatan. Kedua, dengan menghindari sesuatu yang berbahaya iaitu maksiat. Tak ubahnya seperti seorang yang sedang sakit. Dia akan meminum ubat dan menghindarkan makanan tertentu sampai betul-betul sihat. Bila engkau melakukan sebuah dosa, lalu engkau ikuti ia dengan taubat dan penyesalan, itu dapat menjadi sebab bagi tersambungnya hubunganmu dengan Allah. Namun, bila engkau melakukan ketaatan seperti ibadah haji, lalu engkau ikuti ia dengan rasa ujub, bangga, dan sombong, itu dapat menjadi sebab terputusnya hubunganmu dengan Allah.

Sungguh aneh, bagaimana engkau berdoa kepada Allah agar diberi hati yang baik, sementara anggota badanmu melakukan dosa dan perbuatan yang terlarang. Jika demikian, engkau seperti orang yang sedang meminum racun atau orang yang menelan ubat, tetapi ular dibiarkan menyegatnya.

Siapa yang melakukan perbuatan haram dan mengerjakan maksiat, hatinya menjadi gelap dan mata hatinya menjadi redup. Oleh kerana itu, segeralah menyucikan dan membersihkan hatimu dengan bertaubat, berzikir, menyesal, dan memohon keampunan. Bila engkau belum bertaubat di saat sihat, boleh jadi Allah akan mengujimu dengan penyakit dan musibah agar engkau dapat keluar dari dunia dalam keadaan bersih dari dosa seperti pakaian yang dicuci dengan air.

Bertaubatlah dan beristighfarlah selalu agar hatimu sibuk dengan zikir sehingga engkau dilumuri cahaya. Jangan sekali-kali berbuat seperti penggali sumur yang mencari air. Dia menggali di sini dengan dalam sehasta, kemudian menggali di tempat lain dengan dalam sehasta pula. Dengan begitu, dia takkan dapat menemukan air. Mestinya dia menggali di satu titik saja dengan bersungguh-sungguh hingga air ditemukan.

Ketahuilah bahawa hati ini menjadi rosak kerana kurangnya rasa takut dan tiadanya rasa khusyuk terhadap Allah. Hati yang hidup adalah hati yang tak pernah terlalaikan daripada Allah. Bila ingin mengubati hatimu dari keburukan dan kelalaian, jauhilah sesuatu yang syubhat, keluarlah menuju ke padang taubat, pakailah baju penyesalan, angkatlah panji kehinaan, tinggalkan tempat tidur, ubahlah kedudukanmu dari jauh kepada Allah dengan mendekatiNya dan dari permainan dengan kesungguhan, berilah makan fakir miskin, biasakan hatimu untuk mengasihi dan mencinta, memperbanyakkan menangis, dan teruslah berdoa kerana mengharap dan cemas, dengan begitu mudah-mudahan engkau sembuh.

Wahai hamba Allah, agama merupakan modal hidupmu di dunia. Bila engkau kehilangan modal tersebut, sibukkan lisanmu dengan menyebutNya, hatimu dengan mencintaiNya, dan anggota badanmu dengan mengabdikan diri kepadaNya. Selain itu, bersikaplah tawadhu’, temuilah para ulama’ yang mengamalkan ilmunya, sampai benih datang, turunnya hujan, dan ia pun tumbuh. Sesiapa yang memperlakukan hatinya seperti petani memperlakukan tanahnya, hatinya akan bersinar dengan cahaya iman dan hikmah.