Thursday, July 1, 2010

Memahami Madrasah Ramadhan



Ibnu Manzur telah berkata dalam kitabnya, Lisan al Arab bahawa kalimat Ramadhan membawa erti panas yang terik atau batu yang panas kerana terkena cahaya sinaran matahari. Ada juga yang mengatakan dinamakan bulan ini dengan nama Ramadhan kerana gugurnya dosa-dosa seseorang Muslim disebabkan amal ibadah dan perbuatan-perbuatannya yang baik dan mendatangkan pahala.

Allah telah memilih bulan Ramadhan sebagai bulan medan ujian bagi umat Islam dengan diwajibkan berpuasa selama sebulan dengan menahan lapar dan dahaga sehinggalah sampai waktu berbuka. Dengan berpuasa, seorang hamba Allah akan menjadi seorang yang sabar, bersyukur, dan bertaqwa kepada Allah serta dapat mendidik jiwa supaya merenung kebesaran dan keagungan Allah Yang Maha Berkuasa.

Rasulullah SAW bersabda:

دَوِّمْ قَرْعَ بَابِ الْجَنَّةِ، قَالَتْ: بِمَاذَا يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: بِالْجُوْعِ
“Berterusanlah kamu dengan sesuatu yang dapat mengetuk pintu syurga. Maka Sayyidah Aisyah RA berkata, Dengan apakah caranya wahai Rasulullah! Sabda Rasulullah SAW, Dengan berlapar (memperbanyakkan puasa)”.

Daripada Sayyiduna Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Setiap amalan anak Adam adalah baginya. Satu kebaikan dibalas dengan 10 ganjaran hingga 700 kali ganda. Firman Allah: Melainkan puasa, sesungguhnya ia adalah bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya. Sesungguhnya ia meninggalkan syahwatnya, makanannya dan minumannya semata-mata kerana Aku. Bagi orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi”.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.

Diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila telah masuk bulan Ramadhan, maka pintu-pintu langit dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu”.

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kita semua berpuasa pada bulan ini. Sesiapa yang memuliakan kebaikannya di bulan yang mulia, maka ia akan menjadi seorang hamba yang dimuliakan oleh Allah. Nabi SAW pernah bersabda, “Sekiranya umatku mengerti rahsia yang terkandung di bulan Ramadhan, nescaya umatku mengharapkan agar seluruh tahun menjadi bulan Ramadhan”.

Ulama’ salafussoleh sentiasa memohon kepada Allah selama enam bulan agar Allah menyampaikan usia mereka hingga tiba di bulan Ramadhan yang mulia. Kemudian mereka berdoa enam bulan agar Allah menerima amal mereka. Demikianlah sifat kebiasaan salafussoleh dalam melaksanakan puasa di bulan Ramadhan dengan mengharap kepada Allah agar mengasihi mereka dalam setiap urusan. Ini kerana siapa yang hidupnya dalam ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah memperhatikan dan menjaganya dalam setiap keadaan.

No comments:

Post a Comment