Semenjak kebelakangan ini suasana keharmonian Islam digoncangkan dengan serangan-serangan pemikiran individu-individu yang berfahaman ala Wahhabi disebalik pangkat doktor atau sarjana lulusan Islam luar negara atau dalam negeri yang sudah mula berani mempersoalkan amalan-amalan yang mempunyai hujah dan dalil kukuh amalan masyarakat Islam di negara ini yang sekian lama sudah diamalkan dengan berpandukan Al Quran dan Sunnah Nabi SAW yang dijadikan tiang sandaran pegangan sejati ulama’-ulama’ Ahli Sunnah wal Jamaah dahulu dan sekarang.
Di antara amalan-amalan murni mendekatkan masyarakat kepada Allah dan Rasul yang mula dipertikaikan oleh golongan yang tidak faham dan cetek ilmu mereka adalah:
1. Mengadakan perayaan maulid Nabi SAW dan berzanji.
2. Memperingati malam Isra’ dan Mi’raj
3. Membaca surah Yaasiin di malam Jumaat.
4. Berpuasa di bulan Rejab.
5. Membuat tahlil dan talqin.
6. Membaca doa qunut sewaktu solat Subuh.
7. Berdoa selepas solat.
8. Tidak boleh berzikir dengan kuat.
9. Penggunaan tasbih ketika berzikir.
10. Membuat majlis doa akhir tahun dan doa awal tahun, dan banyak lagi yang tidak dapat disebutkan disini.
Puak-puak yang jahil membawa aliran fahaman Wahhabi ini dengan mudah menghukumkan amalan-amalan ini dengan mengatakan ia adalah sesat, dan tidak ada sandaran agama. Mereka berkata seolah-olah ulama’-ulama’ dan masyarakat Islam di negara ini begitu jahil sekali sehinggakan tidak tahu apakah ibadah yang mereka kerjakan. Ingatlah kita dengan satu hadith Rasulullah SAW yang berbunyi, “Sesungguhnya Allah tidak mencabut sesuatu ilmu dengan mencabutnya dari dada hamba-hambaNya, tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan ulama’ sehingga apabila tiada lagi di muka bumi ini, walau seorang dari mereka, maka manusia akan melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang-orang yang jahil. Apabila mereka ditanya, mereka mengeluarkan fatwa tanpa berdasarkan ilmu. Maka mereka telah menjadi sesat dan menyesatkan orang lain”. (Diriwayatkan oleh al Bukhari (100), Muslim (2673), al Tirmizi (2654) dan Ibnu Majah (52).
Rasulullah SAW berkata lagi, “Akan datang kepada manusia beberapa tahun ditimpa kemarau, orang yang berdusta dipercayai dan orang yang benar didustai. Orang yang khianat diberikan amanah dan orang yang amanah dikhianati. Akan berbicara pada zaman tersebut Ruwaibidhah. Rasulullah SAW ditanya, “Apakah Ruwaibidhah?” Jawab Baginda SAW, “Lelaki yang kurang ilmu tetapi berkata mengenai urusan umat”. (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah. Lihat Sunan Ibni Majah (4/377) hadith no: 4036.)
Puak-puak yang jahil dan berfahaman ala Wahhabi ini terlalu gemar menimbulkan persoalan-persoalan yang remeh-temeh dan perkara furu’ (cabang) dalam masalah agama. Mereka langsung tidak menghormati pendapat yang sedia ada bagi ulama’-ulama’ dan golongan yang melakukan amalan-amalan yang disebutkan di atas. Mereka merasakan hanya golongan mereka sahaja yang betul dan seolah-olah maksum dan tidak terlepas dari melakukan dosa dan kesalahan. Yang malangnya, kini masyarakat Islam mula berpecah-belah lantaran berbeza pendapat dan tidak meraikan dalil di antara satu sama lain. Maka dengan ini hubungan persaudaraan Islam akan retak dan terlerai begitu sahaja apabila kita asyik bersalahan pendapat. Semoga Allah memberikan mereka yakni puak-puak jahil ini dengan kefahaman ilmu yang sebenarnya.
Dr. Abdul Fatah Barakah, Setiausaha Agung Pusat Penyelidikan Islam Kaherah berkata, Kaum Muslimin pada hari ini, sangat memerlukan kepada pemulihan hubungan antara mereka dan bersatu di atas kalimah yang satu, dengan mengamalkan sikap terbuka dan saling bertoleransi menerima kelainan pendapat dan ijtihad saudara Muslim yang lain dalam lapangan yang diizinkan oleh agama, serta saling berpesan dengan kebenaran dan menasihati dengan kesabaran dalam menghadapi musuh-musuh kita yang sebenarnya; yang sentiasa berusaha menodai Islam untuk memadam Cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka. Allah sahajalah yang menyempurnakan cahayaNya sekalipun ia dibenci orang-orang kafir. Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan, Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al Maliki al Hasani, H:93.
Untuk makluman para pembaca dan saudara yang dikasihi, setiap amalan-amalan yang dilakukan oleh masyarakat Islam di negara ini berpandukan hukum dan Sunnah Rasulullah SAW yang jelas sekali. Cuma tanyakan pintu hati dan ruangan akal kita sendiri, adakah membaca surah Yaasiin secara beramai-ramai di malam Jumaat itu boleh dihukumkan sesat dan masuk api neraka lantaran kerana beranggapan bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah melakukannya. Adakah manusia yang membuat maulid Nabi SAW yang dalamnya itu adanya pembacaan al Quran, salawat kepada Rasulullah SAW serta diadakan majlis ilmu dan setiap manusia yang menghadiri majlis maulid dalam keadaan perasaan hati mereka itu menggunung tinggi cinta kepada Allah dan Rasul boleh dihukumkan sesat kerana mengadakannya.
Puak-puak ini menghukumkan tidak boleh berzikir dan berdoa selepas solat kerana beranggapan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah buat dan melarang dari melakukannya. Adakah berdosa bila seseorang itu berzikir dan berdoa selepas solat? Lalu puak-puak jahil ini meninggalkan zikir dan doa yang dibaca oleh imam-imam masjid. Yang menghairankan, sewaktu solat berjamaah mereka mengikut imam, setelah selesai mereka segera bangun seolah-olah doa dan zikir itu tidak diterima oleh Allah. Dan mereka marah dan menempelak kepada golongan-golongan yang tidak bersetuju dengan buah pendapat mereka. Lalu mereka mengatakan si polan tidak faham dengan masalah aqidah atau pengertian bid’ah yang sebenarnya.
Rasulullah SAW telah bersabda mengenai sikap puak-puak yang ekstrim dalam agama dengan sabdanya, “Sesungguhnya agama ini adalah teguh. Maka dalamilah (pelajarilah) ia dengan lemah lembut. Tiada seorang pun yang bersifat ekstrim terhadap agamanya melainkan ia akan dikalahkan. Maka luruskanlah, dekatkanlah, gembirakanlah dan mintalah pertolongan kepada Allah saban pagi dan petang serta seketika pada akhir malam”. Hadith ini menunjukkan bahawa sikap ekstrim di dalam agama akan membinasakan semua orang yang ekstrim tersebut.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman dalam memahami setiap urusan agama. Janganlah kita menjadi golongan yang ghuluw (melampaui batas) dengan mudah menuduh saudara muslim itu sesat, kafir, zindik dan masuk api neraka. Ingatlah firman Allah, “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. Al Maaidah: 87.
No comments:
Post a Comment