Wahai anakku! Dalam beberapa ayat al Quran, Allah telah menjelaskan dan menggalakkan kita agar berbuat baik dan menjaga dengan penuh kasih sayang terhadap kedua ibu bapa kita. Perintah berbakti dan berbuat baik kepada mereka adalah satu perintah yang ada kaitan dalam ibadah kita kepada Allah. Tujuan yang sebenarnya, Allah mahu kita melahirkan sifat berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita yang telah mengeluarkan titik peluh tanpa perlu dibayar, diungkit-ungkit dan diminta-minta. Allah berfirman, "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa". (An Nisa’: 36).
Wahai anakku! Perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah satu perkara wajib bagi seorang anak yang mendakwa taat kepada perintah Allah dan RasulNya. Ini perlu diperhatikan di mana zaman ini kita melihat anak-anak sekarang sudah mula berani menderhaka kepada kedua ibu bapa mereka, menengking, memukul, meminggirkan mereka dan antara yang paling menyayat hati iaitu ada yang membunuh kedua ibu bapa mereka. Maka dengan ini jelas, anak-anak sudah mula lupa peranan dan tanggungjawab mereka kepada insan yang telah membelai dan mendidik mereka semenjak dari kecil lagi.
Wahai anakku! Berbakti kepada kedua ibu bapa mestilah dilakukan dalam keadaan kita berilmu dan memahami yang mana perlu didahulukan dalam kehidupan kita. Di antara syarat-syarat berbakti adalah:
1. Seseorang anak harus lebih mendahulukan redha kedua ibu bapa dari kesenangan diri sendiri, isteri, anak atau orang lain.
2. Hendaklah mentaati kedua ibu bapa dalam setiap perintah dan larangan, selama mana mereka tidak menyuruh bermaksiat kepada Allah.
3. Ikhlas memberikan mereka kesenangan, kebahagiaan dan keperluan yang cukup bagi mereka.
4. Sentiasa menghiburkan mereka di hari tua sepertimana mereka membesarkan kita semua sewaktu kecil.
5. Berusaha menjadi seorang anak yang soleh dan solehah dengan selalu mendoakan kebaikan kedua ibu bapa kita.
Wahai anakku! Ingatlah firman Allah ini, “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua ibu bapanya, ibunya yang telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu. Hanya kepadaKu lah kamu kembali”. (al Luqman:14).
Wahai anakku! Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesungguhnya Allah menyuruh kalian berbuat baik kepada ibu kalian, kemudian menyuruh kalian berbuat baik pada ibu kalian, kemudian menyuruh kalian berbuat baik pada ayah kalian, kemudian menyuruh berbuat baik pada kerabat yang lebih dekat kemudian kepada kerabat yang dekat". (Riwayat al Bukhari dalam Adab al Mufrad).
Wahai anakku! Abdullah bin Mas’ud RA berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, “Amal apakah yang paling disukai oleh Allah? Nabi SAW menjawab, “Solat pada waktunya”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa? Nabi SAW menjawab lagi, “Berbakti kepada kedua ibu bapa”. Kemudian aku bertanya lagi, “Lagi apa? Nabi SAW menjawab lagi, “Berjihad di jalan Allah”. Abdullah bin Mas’ud RA berkata, “Semua itu disampaikan oleh Rasulullah SAW kepadaku. Andai kata aku meminta tambahan, Rasulullah SAW pasti menambahkannya lagi untukku”. (Riwayat al Bukhari dan Muslim).
Wahai anakku! Lihatlah akhlak keluarga Rasulullah SAW yang bernama Ali Zainal Abidin dalam adab dirinya bersama bonda beliau. Diriwayatkan bahawa seseorang berkata kepadanya, “Ya Ali! Sesungguhnya engkaulah orang yang paling berbakti kepada ibumu. Bukankah engkau pernah kami lihat makan satu tempat bersama ibumu dan engkau berkata. “Aku risau tanganku lebih dulu sampai ke makanan (sebelum ibuku) dan apabila ia dilihat ibuku, maka ia dikira aku derhaka kepadanya”.
Wahai anakku! Berbaktilah kepada kedua ibu bapamu yang telah meninggal dunia. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya”. (Riwayat Ibnu Majah).
Wahai anakku! Di antara berbakti kepada kedua ibu bapa setelah mereka meninggal dunia adalah bersedekah untuknya. Abdullah bin Abbas RA meriwayatkan bahawa seseorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW, “Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia, adakah bermanfaat jika aku bersedekah untuknya? Rasulullah SAW menjawab, “Ya”. Lelaki itu berkata, “Aku mempunyai kurma dan aku bersaksi kepada engkau yang aku aku telah menyedekahkannya untuk ibuku”. (Riwayat Abu Daud).
Wahai anakku! Kita sebagai seorang Muslim, hendaklah sentiasa mendoakan kedua ibu bapa selepas setiap kali solat fardhu dan bermohon kepada Allah agar menempatkan kedua ibu bapa kita di kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan dikasihi. Semoga Allah merahmati kedua ibu bapa kita yang membesarkan serta mendidik kita menjadi insan yang berguna di dunia dan di akhirat.
Segala puji kesyukuran bagi Allah, yang telah memerintahkan kami untuk berterima kasih kepada kedua ibu bapa kami dan berbuat baik kepada mereka. Mendorong kami supaya merebut peluang berbakti kepada mereka, bersungguh-sungguh melakukan kebajikan kepada mereka, dan menyuruh kami untuk merendahkan diri kepada mereka dengan penuh kasih sebagai pengagungan dan penghormatan terhadap keduanya, dan memesankan kami supaya menyayangi keduanya sebagaimana mereka telah menyayangi kami semasa kecil.
Ya Allah! Ampunilah dosa kami dan kedua ibu bapa kami dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasuh dan mengasihi kami semasa kami masih kecil dan seterusnya, ampunilah dosa sekalian orang-orang Islam dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia dengan rahmat Engkau, wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon pemeliharaanMu dan kami menyerahkan kepadaMu agama kami, diri kami, keluarga kami, anak-anak kami, harta-harta kami dan segala yang telah Engkau kurniakan kepada kami.
Ya Allah! Rahmatilah kedua ibu bapa kami, dan ampunilah kesalahan mereka, sayangilah mereka. Redhailah mereka dengan keredhaan yang dengannya Engkau memberikan keredhaan dan keampunan kepada mereka. Engkau tempatkanlah mereka di dalam Negara kemuliaanMu, dan keamananMu, kemaafanMu dan keampunanMu. Dan Engkau limpahkanlah mereka dengan kelembutan kebaikanMu dan ihsanMu.
No comments:
Post a Comment