Friday, July 2, 2010

Kecintaan Bukit Uhud kepada Sayyiduna Rasulullah SAW


Bukit Uhud adalah merupakan sebuah bukit yang mulia di Madinah al Munawwarah. Dinamakan Uhud kerana ia terpisah dari bukit-bukit dan gunung-gunung yang lain di sekitarnya. Bukit Uhud juga telah menyaksikan pelbagai peristiwa besar sejarah Islam iaitu Peperangan Uhud yang diketuai oleh Rasulullah SAW bersama para sahabat yang setia dan yang menyayatkan hati kita apabila syahidnya Sayyiduna Hamzah Asadullah RA (singa Allah) dalam peperangan tersebut.

Rasulullah SAW telah bersabda, “Bukit Uhud adalah bukit dari bukit syurga”. (Dikeluarkan oleh al Tobrani.

Daripada Sayyiduna Anas bin Malik RA berkata, “Sesungguhnya apabila Rasulullah SAW berjalan di Bukit Uhud lalu Nabi SAW bersabda, “Inilah Bukit Uhud yang mencintai kami dan kami mencintainya”. (Diriwayatkan oleh al Bukhari).

Lihatlah dengan mata hati kita, Bukit Uhud yang sifatnya sungguh keras dan pejal, berbatu-batu dan berbukit-bukit ada menyimpan perasaan cinta dan kasih yang dipendamnya selama ini, khas untuk Rasulullah SAW seorang manusia yang dimuliakan oleh Allah di langit dan di bumi. Dan bandingkan pula dengan diri kita, adakah diri kita ini yang mempunyai hati dan perasaan ada menyimpan erti kasih dan rindu kepada Baginda Rasulullah SAW.

Sesungguhnya cinta Bukit Uhud telah dibalas oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya, dan kami juga mencintainya. Alangkah bertuahnya Bukit Uhud yang dicintai oleh Rasulullah SAW jika dibandingkan dengan bukit dan gunung lain yang tidak dicintai oleh Rasulullah SAW. Cuba kita fikir sejenak! Bukit Uhud bukannya manusia seperti kita. Ia akan kekal dengan sifatnya yang keras sampai bila-bila. Tanyakan lagi, mengapa hati kita yang keras ini tidak lembut dan menangis apabila memikirkan hubungan kita dengan Allah dan RasulNya samaada dekat atau jauh. Malangnya kita tidak tahu sejauh mana hubungan itu kerana kita telah menjalinkan kecintaan dengan dunia lebih besar daripada kecintaan dengan Allah dan RasulNya.

Segala yang dipijak, disentuh atau didiami oleh Rasulullah SAW kesemua tempat itu akan menjadi mulia dan masyhur disebabkan keberkatan dan kemuliaan Sayyiduna Rasulullah SAW.

Cintanya makhluk-makhluk kepada Rasulullah SAW, bukan setakat manusia sahaja. Ia terdiri dari bukit-bukit, haiwan-haiwan, pokok-pokok, batu-batu, dan makanan-makanan seperti yang disebutkan dalam banyak kitab-kitab hadith.

Disini saya sebutkan dalam kitab al Syifa karangan Imam Qadhi al ‘Iyad, satu kisah tentang seekor unta yang diriwayatkan oleh Tsa’labah ibn Malik, Jabir ibn Abdullah, Ya’la ibn Murrah, dan Abdullah ibn Ja’far. Tsa’labah ibn Malik RA berkata, “Tidak seorangpun yang memasuki sebuah taman melainkan akan diserang oleh seekor unta yang liar. Ketika Rasulullah SAW memasuki taman tersebut, Nabi SAW memanggil unta yang liar itu lalu unta tersebut meletakkan mulutnya di atas tanah dan bersujud di hadapan Rasulullah SAW. Nabi SAW meletakkan satu tali kekang di atas unta itu lalu bersabda, “Tidaklah ada sesuatu di antara langit dan bumi yang tidak mengetahui bahawa aku adalah Pesuruh Allah kecuali orang-orang yang ingkar daripada kalangan jin dan manusia”. (Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim).

No comments:

Post a Comment